Sunday, August 22, 2010

Keselamatan Industri

TUGASAN 1

1.    Penerangan dan maksud Keselamatan

Menurut sumber rujukan Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka Edisi ke-2
            Keselamatan dapat memberi maksud sebagai keadaan selamat, keamanan, dan kesejah­teraan.

Menurut konsep keselamatan industri
-          Keselamatan dapat diinterprestasikan sebagai suatu keadaan di mana manusia, hidupan lain dan harta benda terlindung daripada bahaya hasil daripada aktiviti-aktiviti pekerjaan manusia.
-          Keselamatan industri pula dapat ditafsirkan sebagai aktiviti,kelakuan atau kerja yang bebas daripada bahaya atau risiko kecederaan dan mengawal kerugian akibat daripada kemalangan.
-           
Keselamatan merupakan perihal selamat, kesejahteraan atau keamanan. Keselamatan juga bermaksud keadaan terlindungi daripada masalah fizikal, sosial, kewangan, politik, perasaan, pekerjaan, psikologi, pelajaran dan perkara-perkara lain yang melibatkan kerosakan atau kejadian yang tidak diingini. Ini juga termasuk dalam konteks terlindung daripada sesuatu malapetaka atau kejadian yang berkaitan dengan kesihatan dan ekonomi.
Daripada maksud-maksud dan tafsiran yang telah diberikan, keselamatan merupakan aspek utama yang perlu dipatuhi bagi memastikan keselamatan dan kesihatan seseorang itu terjamin.  Hal ini demikian kerana, keselamatan dilihat sebagai salah satu punca dalam menentukan keuntungan dan kerugian sesebuah firma atau syarikat. Sebagai contoh, jika sesebuah firma tersebut terlalu ramai orang yang mengalami kemalangan, firma tersebut perlu menanggung kerugian dan kos kemalangan terbabit. Pampasan perlu diberikan kepada pekerja yang mengalami kemalangan tersebut. Hal sebegini dilihat akan merugikan pihak firma dan dalam masa yang sama proses pengeluaran sesuatu produk juga akan berkurangan.  Faktor keselamatan sering dikaitkan dengan faktor proses pengeluran. Oleh itu, keselamatan merupakan elemen yang penting dan perlu sentiasa dititik beratkan supaya tiada sebarang masalah yang akan berlaku.

Bagi memastikan keselamatan dapat dijaga dan dipelihara di tempat kerjan para pekerja perlulah mengikut panduan keselamatan ditempat kerja. Berikut adalah contoh panduan keselamatan di tempat kerja.

1)      Awasi semua notis peringatan
2)      Beritahu semua keadaan merbahaya kepada pengguna/pekerja
3)      Jangan bergurau senda semasa bekerja
4)      Pastikan tempat kerja bersih dan kemas
5)      Pindahkan semua benda-benda yang menghalang laluan
6)      Bersihkan minyak yang melimpah
7)      Tutup semua lubang terdedah
8)      Awasi semua tanda larangan merokok
9)      Pindahkan semua halangan daripada alat pencegah kebakaran
10)  Pelajari cara-cara penggunaan pemadam api
11)  Jangan pindahkan alat pemadam api
12)  Memakai pakaian keselamatan yang lengkap








2.    Menerangkan Matlamat dan Objektif Keselamatan dan Kesihatan Industri



i.        Mempertingkatkan kesedaran dan memupuk budaya keselamatan dan kesihatan di kalangan semua pekerja.
ii.      Memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja (bebas dari bahaya).
iii.    Melindungi orang di tempat kerja selain daripada pekerja ditempat tersebut.
iv.     Menggalakkan suatu persekitaran pekerjaan yang selesa untuk pekerja supaya bersesuaian dengan keperluan fisiologi dan psikologi
v.       Menyediakan kaedah di mana peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dapat diganti dengan sistem peraturan dan kod amalan industri yang beroperasi bersama dengan peruntukan akta ini untuk mengekalkan dan meningkatkan standard keselamatan dan kesihatan.
vi.     Keselamatan dan kesihatan juga perlu diutamakan supaya dapat mengelakkan kerugian pada industri.
vii.   Apabila kesihatan pekerja terjaga, sesuatu pekerjaan dapat dijalankan dengan tekun dan produktif. Produk dan perkhidmatan yang berkualiti juga dapat dihasilkan.
viii. Tujuan keselamatan dan kesihatan dalam industri diadakan bertujuan untuk meningkatkan produktiviti, tingkatkan keupayaan bersaing dan sebagainya.
ix.     Keselamatan dan kesihatan dalam industri juga dapat menunjukkan komitmen majikan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerja.



3.    Menerangkan pembentukan Occupational Safety and Health Committee (OSHA)

Keselamatan industri bertujuan mewujudkan satu suasana kerja yang selamat kepada pekerja dalam sesebuah industri. Pekerja selalunya terdedah kepada pelbagai bahaya seperti kebisingan, asap, dan gas, bahan kimia, kepanasan, radiasi nuklear, pengendalian jentera dan sebagainya yang mana jika tidak diambil perhatian akan menyebabkan kesan yang tidak baik kepada keselamatan dan kesihatan mereka.
Justeru itu, Akta keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang dikuatkuasakan pada Febuari 1994, menggariskan panduan asas untuk mengurus isu-isu keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja. Tujuannya ialah untuk menjamin keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja dan orang lain yang secara sah berada di tempat kerja terhadap risiko-risiko keselamatan dan kesihatan yang berbangkit dari aktiviti pekerjaan di tempat kerja. Akta ini juga bertujuan untuk menggalakkan suatu persekitatan pekerjaan yang selesa untuk pekerja supaya bersesuaian dengan keperluan fisiologi dan psikologi mereka serta turut bertujuan untuk mengekalkan atau memperbaiki piawaian keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Secara prinsipnya, AKKP 1994 bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran keselamatan dan kesihatan di kalangan perkerja dan majikan, di samping memupuk komitmen mereka terhadap amalan keselamatan dan kesihatan pekerjan yang dilaksanakan melalui skim-skim perngaturan kendiri yang disesuaikan dengan industri dan organisasi yang berkaitan

Pembentukkan

Peranan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia telah bermula sejak 120 tahun yang lalu, iaitu pada akhir abad ke-19. Bermula dengan keselamatan dandang dan kemudiannya ke atas keselamatan jentera ini diikuti dengan keselamatan industri, keselamatan dan kesihatan industri dan akhir sekali meliputi aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang meliputi semua bidang pekerjaan. Sejarah, peranan dan perkembangan Jabatan ini boleh dijejaskan dalam lima era.
1. Era Keselamatan Dandang - sebelum 1914

Tugas keselamatan pekerjaan yang mula-mula dilaksanakan di Malaysia ialah pada tahun 1878, di mana En. William Givan telah dilantik sebagai Pemeriksa Jentera.
Beliau ditugaskan untuk memeriksa keselamatan dandang stim yang ketika itu kebanyakannya digunakan di lombong-lombong bijih timah.
Pada sekitar tahun 1890an, kerajaan Negeri Perak telah melaksanakan sistem pemeriksaan oleh orang perseorangan, di mana orang perseorangan yang mempunyai kelayakan dalam bidang dandang stim diberi lesen perlantikan sebagai boiler surveyor.
Pada tahun 1892 terdapat 83 dandang stim di Negeri Perak. Kesemua dandang digunakan di lombong bijih timah melainkan 6 unit yang digunakan di kilang gula. Sistem boiler surveyor telah ditamatkan pada tahun 1900 dengan terlantiknya En. C. Finchman sebagai Inspector of Boiler.
Enakmen-enakmen dandang stim pada ketika ini bersifat kenegerian yang mana keempat-empat negeri di bawah Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan) mempunyai perundangan dandangnya yang tersendiri.
Perundangan dandang yang pertama adalah dipercayai di Negeri Selangor, iaitu Selangor Boiler Enactment 1892 . Manakala di Perak pula perundangan dandang stim yang pertama dikuatkuasakan ialah pada tahun 1903.
Pada tahun 1908 barulah kesemua Negeri-negeri Melayu Bersekutu mempunyai perundangan dandang mereka masing-masing, dan kesemua pemeriksa pada ketika itu dikenali sebagai 'Inspector of Boiler'.


2. Era Keselamatan Jentera - 1914 hingga 1952

Pada 1hb. Januari 1914 enakmen-enakmen dandang stim di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dimansuhkan dan digantikan dengan Machinery Enactment of 1913.
Dengan berkuatkuasanya enakmen 1913 pemeriksa tidak hanya membuat pemeriksaan dandang stim sahaja tetapi juga ke atas jentera-jentera lain, termasuklah enjin pembakaran dalam, turbin air dan pemasangan jentera auxiliary yang bersangkutan. Pada masa yang sama jawatan Inspector of Boiler juga dimansuhkan dan diganti dengan Inspectors of Machinery and Assistant Inspector of Machinery.
Pada tahun 1932, Machinery Enactment of 1913 telah dimansuhkan dan digantikan dengan Machinery Enactment of 1932. Pemeriksaan dan pendaftaran serta pemeriksaan pemasangan telah dikuatkuasakan. Ketika itu Pemeriksa-pemeriksa Jentera adalah di bawah pentadbiran Jabatan Galian, iaitu di bawah cawangan Machinery.
Ini adalah kerana pada ketika itu jentera-jentera kebanyakannya tertumpu di sektor perlombongan yang mana merupakan perusahaan utama pada waktu itu.

3. Era Keselamatan Industri - 1953 hingga 1967

            Cawangan Machinery berada di bawah Jabatan Galian sehingga 1952. Cawangan Kejenteraan (Machinery) telah dipisahkan daripada Jabatan Galian dan ditukarkan nama kepada Jabatan Kejenteraan. Pemisahan ini adalah perlu kerana kebanyakan pemeriksaan telah berkembang luar daripada industri perlombongan.
            Pada tahun 1953, kesemua enakmen kejenteraan yang dipakai di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu serta Negerinegeri Selat telah dimansuhkan dan digantikan dengan Machinery Ordinace 1953.
            Dengan penguatkuasaan Ordinan 1953 ini, peranan Pemeriksa tidak lagi tertumpu kepada dandang atau keselamatan jentera tetapi juga meliputi keselamatan pekerja di kilang-kilang di mana jentera-jentera tersebut digunakan.
            Ordinan 1953 masih mempunyai kekurangan dalam aspek-aspek kesihatan pekerja walaupun terdapat peraturan-peraturan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di bawah ordinan tersebut, tetapi tidak dikuatkuasakan sepenuhnya.

Peruntukan-peruntukan utama ordinan-ordinan tersebut adalah seperti berikut:

·         hendaklah ditubuhkan suatu Lembaga Pemeriksa dengan kuasa-kuasa mengendalikan pemeriksaan dan kelulusan sijil-sijil perakuan kebolehan
·         peraturan-peraturan boleh dibuat
·         jentera-jentera tidak boleh dijalankan tanpa sijil perakuan kelayakan
·         orang yang disahkan sahaja boleh mengendalikan jentera
·         jentera-jentera hendaklah diperiksa dari semasa ke semasa
·         kebenaran dari Pemeriksa hendaklah diberi sebelum jentera diperlesenkan atau diubah
·         semua kemalangan kepada orang atau harta benda bersangkut paut dengan jentera hendaklah dilaporkan dan disiasat
·         tiada sesiapapun boleh membuat kelakuan yang boleh mengakibatkan kecederaan kepada yang lain atau menggunakan alat keselamatan
·         jentera-jentera yang tidak mematuhi peraturan tidak dibenarkan dijual atau dipinjamkan atau disewakan
·         Pemeriksa diberi kuasa-kuasa untuk memasuki tempat-tempat dan memberhentikan jentera-jentera yang tidak selamat.

Sehingga 1964 terdapat 786 dandang stim, 4537 pengandung tekanan tak berapi, 981 mesin angkat dan 11,366 pepasangan lain. Kakitangan Jabatan Kejenteraan ketika itu terdiri dari 10 Pemeriksa, iaitu Jurutera Mekanikal, 5 Penolong Pemeriksa terdiri daripada pemegang Diploma Kejuruteraan dan 9 Pemeriksa kilang (Juruteknik).

4. Era Keselamatan dan Kesihatan Industri - 1970 hingga 1994

            Pada tahun 1967, Akta Kilang dan Jentera telah diluluskan oleh Parlimen. Selain daripada itu penyusunan semula Jabatan telah dijalankan pada penghujung tahun 1960an di mana tanggungjawab dan fungsi pemeriksa, kaedah pentadbiran dan sistem fail telah disusun semula disamping penutupan pejabat-pejabat cawangan kecil di Rawang, Taiping, Tapah, dan Muar.
            Pada tahun 1970 Akta Kilang dan Jentera serta lapan peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya dikuatkuasakan. Dengan berkuatkuasanya Akta ini, Ordinan Kejenteraan 1953 telah dimansuhkan dan nama Jabatan pula ditukar kepada Jabatan Kilang dan Jentera.
            Pemeriksa-pemeriksa yang menguatkuasakan Akta tersebut bergelar Pemeriksa Kilang dan Jentera. Akta ini digubal untuk mengatasi kekurangankekurangan yang terdapat pada Ordinan Kejenteraan 1953, iaitu dari segi skop liputan ke atas pekerja, di mana para pekerja di tempat kerja yang tiada penggunaan jentera telah juga dilindungi.
            Peruntukan-peruntukan yang berkaitan dengan kesihatan industri telah diperlengkapkan.Secara umumnya, Akta ini telah digubal untuk memperuntukkan piawaian minimum bagi keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja yang mempunyai 5 orang pekerja atau lebih dan di semua premis di mana jentera digunakan, termasuklah di kilang-kilang, tapak-tapak kerja binaan bangunan dan kerja binaan kejuruteraan.
            Akta ini cuma berkuatkuasa di Semenanjung Malaysia sehinggalah pada tahun 1980 apabila pemakaiannya diperluaskan ke Sabah dan Sarawak. Sehingga tahun 1968, Ketua-ketua Pemeriksa adalah terdiri daripada rakyat British berbangsa lnggeris.
            Pada tahun 1968 jawatan Pemeriksa di Jabatan Kejenteraan telah sepenuhnya diisi oleh anak tempatan. Tahun 1968 juga menyaksikan penubuhan seorang Pegawai Perubatan dan Pengawasan unit ini telah dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Kejenteraan. Unit tersebut tidak kekal lama di bawah Kementerian Buruh dan telah diletakkan di bawah pentadbiran Kementerian Kesihatan pada tahun 1971.
            Era ini juga menyaksikan pewujudan beberapa aktiviti serta bahagian yang penting seperti tertubuhnya Bahagian Mencegah Pencemaran pada tahun 1971; penubuhan Unit Industri Hygiene pada tahun 1975 dan penaikan tarafnya kepada Bahagian Industri Hygiene pada tahun 1980;
            Permulaan aktiviti Keselamatan Petroleum dengan tertubuhnya Bahagian Keselamatan Petroleum pada tahun 1985; bermulanya aktiviti pemeriksaan khas bagi mencegah kemalangan besar industri; aktiviti latihan keselamatan dan kesihatan industri pada tahun 1987 dengan bantuan kepakaran daripada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO); penubuhan Pusat Kebangsaan bagi Maklumat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (C.l.S) pada tahun 1988; dan penubuhan Bahagian Major Hazards pada tahun 1991. Akta (Langkahlangkah Keselamatan)
            Petroleum telah dikuatkuasa pada tahun 1984 dan penguatkuasaannya dibuat oleh beberapa agensi kerajaan. Jabatan Kilang dan Jentera menguatkuasakan peruntukan-peruntukan akta yang bersangkutan dengan penghantaran petroluem melalui talian paip, pangagihan dan penyimpanan petroleum serta peralatan perkakasan yang berkaitan. Peraturan-peraturan (Langkah-langkah Keselamatan) (Pengangkutan Petroleum Melalui Talian Paip) 1985 telah dikuatkuaskan sepenuhnya oleh Jabatan ini.
            Dengan tanggungjawab baru ini pemeriksa-pemeriksa kilang dan jentera telah juga diwartakan sebagai Pemeriksa Petroleum.
Cadangan untuk mengadakan sebuah Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara telah dikemukakan oleh Jabatan Kilang dan Jentera kepada Majlis Penasihat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan pada tahun 1985. Kabinet telah meluluskan penubuhan institut ini pada tahun 1991 dan pelancaran rasminya telah dibuat oleh Y.B. Menteri Sumber Manusia pada bulan Disember 1992.
Institut ini adalah sebuah syarikat di bawah tanggungan kerajaan dan penubuhannya bermatlamat untuk menjalankan aktiviti-aktiviti latihan;pengumpulan dan penyebaran maklumat, kajian dan pembangunan dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Satu bengkel kebangsaan mengenai pembangunan strategi maklumat keselamatan dan kesihatan pekerjaan telah diadakan pada 26 - 28hb April 1993 anjuran bersama Jabatan Kilang dan Jentera, Asia-OSH dan Petubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Matlamat mengadakan bengkel ini adalah untuk mewujudkan satu rangkaian maklumat berkaitan dengan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan supaya pertukaran dan penyebaran maklumat akan dapat dibuat dengan lebih berkesan. Sejak penyusunan semula Jabatan pada tahun 1969, banyak perubahan telah berlaku disebabkan oleh pertumbuahn pesat ekonomi negara dan juga ia disebabkan oleh penguatkuasaan beberapa peraturan yang dibuat dibawahnya.
Penyusunan semula Jabatan juga adalah perlu memandangkan kepada perubahan dasar Jabatan dari segi penguatkuasaan perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, iaitu peluasan skop perlindungan para pekerja dan penggalakkan falsafah pengaturan kendiri di mana matlamat, fungsi, tanggungjawab dan pendekatan Jabatan adalah berubah.
Penggubalan Akta yang baru juga memerlukan penyusunan semula organisasi Jabatan setelah 20 tahun berfungsi menurut organisasi yang lama yang tidak lagi sesuai untuk menangani isu-isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan semasa. Jawatankuasa petugas penyusunan semula yang telah ditubuhkan pada 1991 telah mengemukakan dua kertas kerja kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk pertimbangan iaitu kertas kerja menaikkan taraf jawatan Ketua Pemeriksa Kilang dan Jentera dan timbalannya dan kertas kerja cadangan penyusunan semula struktur organisasi Jabatan Kilang dan Jentera Malaysia.
Bermula daripada tahun 1992 gred jawatan Ketua Pemeriksa ialah Jawatan Tertinggi C dan Timbalan Ketua Pemeriksa pula menjawat gred Jawatan Tertinggi D. Penyusunan semula Jabatan telah dipersetujui oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan 108 jawatan baru telah diwujudkan. Struktur baru Jabatan telah mula berkuatkuasa pada 1hb Januari 1993.


5. Era Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan - selepas 1994

            Perundangan baru Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan diperbuat pada tahun 1994. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) telah mendapat kelulusan Parlimen pada 1993 dan telah diwartakan pada Februari 1994.
            Perundangan ini diperbuat kerana memandangkan Akta Kilang dan Jentera 1967 hanya meliputi keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sektor perkilangan, perlombongan; dan penguarian dan pembinaan, yang mana keselamatan dan kesihatan pekerja di sektor industri-industri lain tidak diliputi.
            Pekerja-pekerja yang terlibat di bawah Akta Kilang dan Jentera 1967 hanyalah 24% daripada jumlah tenaga kerja, manakala Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 merangkumi sejumlah 90% daripada tenaga kerja dan akta ini hanya mengecualikan pekerjaan atas kapal dan angkatan tentera.
            Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 adalah bertujuan untuk memupuk dan menggalakkan kesedaran keselamatan dan kesihatan di kalangan pekerja-pekerja dan juga mewujudkan organisasi dan langkah-langkah keselamatan dan kesihatan yang berkesan.
            Ini dilaksanakan melalui skim-skim pengaturan kendiri yang disesuaikan dengan industri atau organisasi yang berkaitan. Akta ini, yang mengandungi 15 bahagian, adalah langkah pembolehan yang bertindih di atas undang-undang keselamatan dan kesihatan sedia ada seperti Akta Kilang dan Jentera 1967.

Tiga prinsip utama telah diambil untuk dijadikan asas dalam penggubalan Akta ini:-

·         Prinsip pertama ialah self- regulation atau pengaturan kendiri. Untuk menangani perkara-perkara berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pihak majikan perlu membangunkan satu sistem pengurusan yang baik dan kemas. Bermula dengan mengadakan satu polisi keselamatan dan kesihatan untuk pekerja-pekerjanya, pihak majikan perlu mengadakan satu perkiraan atau arrangement yang baik untuk dilaksanakan.
·         Prinsip kedua ialah perundingan atau consultation, iaitu pihak majikan, pekerja dan kerajaan perlu berunding untuk menyelesaikan isu-isu dan masalah-masalah berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat-tempat kerja.
·         Prinsip ketiga ialah kerjasama atau co-operation, iaitu pihak majikan dan pihak pekerja perlu bekerjasama untuk menjaga, memelihara dan meningkatkan mutu keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja. Tanpa kerjasama di antara majikan dan pekerja tiada satu pun program-program keselamatan dan kesihatan yang dilaksanakan akan berjaya.

Akta ini juga memperuntukkan perlantikan pegawai-pegawai penguatkuasa, penubuhan Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, pembentukan polisi dan penyusunan langkahlangkah untuk melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang-orang yang sedang bekerja dan orang-orang lain daripada bahaya yang timbul daripada aktiviti orang-orang yang sedang bekerja.
Kuasa untuk penguatkuasaan dan penyiasatan, serta libiliti untuk kesalahan-kesalahan juga dinyatakan dengan jelas.
Dengan kelulusan akta ini mulai April 1994 Jabatan Kilang dan Jentera dikenali sebagai Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Pemeriksa dikenali sebagai Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Di bawah akta ini sektor-sekotr industri yang terlibat adalah seperti berikut:

• Pengilangan
• Perlombongan dan penguarian
• Pembinaan
• Pertanian, perhutanan dan perikanan
• Kemudahan - gas, elektrik, air dan perkhidmatan kebersihan
• Pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi
• Perdagangan borong dan runcit
• Hotel dan restoran
• Kewangan, insuran, harta tanah dan perkhidmatan perniagaan
• Perkhidmatan awam dan pihak berkuasa berkanun

Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan adalah untuk mewujudkan budaya kerja yang selamat dan sihat di kalangan semua majikan dan pekerja supaya keselamatan, kesihatan dan kebajikan mereka dan orang lain yang terdedah risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang berpunca daripada aktiviti orang bekerja adalah terpelihara.


4.    Menerangkan Tanggungjawab Pengurusan

Di bawah pengurusan, terdapat 4 bahagian yang mempunyai tugas dan tanggungjawab masing-masing. Berikut adalah tugas dan tanggungjawab setiap bahagian tersebut.



1)      Pengarah

Pengarah bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan pada pegawai dan kakitangannya. Antara tugas dan tanggungjawab terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah seperti berikut:

·         Menyediakan sistem kerja yang selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan.

·         Untuk menyusun langkah-langkah bagi memastikan keselamatan dan kesihatan dalam penggunaan atau pengendalian, penanganan, penyimpanan.

·         Untuk menyediakan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan kakitangan dan pelatih semasa bertugas.

·         Untuk menyedia dan menyelenggara persekitaran pekerjaan yang selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan, dengan kemudahan yang mencukupi bagi kebajikan kakitangan dan pelatih.

2)      Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan

Bertanggungjawab menguruskan jawatankuasa dan pertubuhan-pertubuhan yang terlibat dengan perlaksanaan peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

3)      Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan adalah bertanggungjawab dalam melaksanakan kewajipannya menurut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514). Antara kewajipan yang perlu dilaksanakan adalah seperti berikut:

·         Membantu dalam merangka kaedah dan sistem kerja selamat.
·         Mengkaji keberkesanan perlaksanaan program keselamatan kesihatan.
·         Membuat kajian semula dasar keselamatan dan kesihatan.
·         Menjalankan pemeriksaan dan penyiasatan di tempat kerja.
·         Membuat cadangan kepada Pengarah mengenai langkah-langkah pemulihan yang perlu diambil terhadap perkara - perkara yang memudaratkan keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja.
·         Membantu Pengarah dalam segala pertandingan yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan, ceramah keselamatan dan kesihatan dan apa-apa kegiatan lain yang bersangkutan dengan keselamatan dan kesihatan.

4)      Unit Audit Keselamatan dan Kesihatan.
·         Bertanggungjawab dalam memastikan pematuhan oleh semua peringkat jawatan kepada dasar, prosedur dan peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

·         Merancang dan menjalankan pemeriksaan berkala ke atas semua premis yang terlibat dengan perlaksanaan peraturan keselamatan dan kesihatan.

Setelah mengetahui tanggungjawab serta peranan pengurusan, pengurusan meliputi tanggungjawab yang besar dalam memastikan keselamatan pekerja benar-benar dijalankan.  Mereka juga perlu merancang dalam menentukan keselamatan sesebuah firma atau syarikat serta sebagai penentu kepada kemajuan sesebuah syarikat.

5.    Menerangkan Tanggungjawab Jabatan / Bahagian

Di bawah Jabatan atau Bahagian, terdapat 3 bahagian yang mempunyai tugas dan tanggungjawab masing-masing. Berikut adalah tugas dan tanggungjawab setiap bahagian tersebut.




1)      Ketua Jabatan/Ketua Bahagian/ Ketua Unit

Ketua Jabatan/Ketua Bahagian/Ketua Unit bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kesihatan terhadap kakitangan dan pelatih. Antara tugas dan tanggungjawab terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah seperti berikut;

·         Membantu pengarah dalam menyelia dan memastikan persekitaran kerja yang selamat.
·         Menyediakan maklumat yang diperlukan bagi membantu pengarah melaksanakan langkah-langkah pencegahan kemalangan seperti latihan, kempen seminar dan sebagainya.
·         Memastikan segala peralatan berada dalam keadaan yang selamat digunakan serta memastikan penggunaan peralatan mengikut SOP (Safe Operation Procedure).
·         Membuat pemerhatian terhadap sistem kerja yang dilaksanakan.
·         Membuat laporan kepada pihak pengurusan dan mengambil langkah-langkah yang perlu apabila berlaku kemalangan ditempat kerja.

2)      Pegawai dan Kakitangan

Pegawai dan kakitangan bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kesihatan dirinya dan orang lain ketika menjalankan tugas. Antara tugas dan tanggungjawab terhadap keselamatan dan kesihatan adalah seperti berikut:

·         Memberi perhatian penuh semasa melakukan kerja bagi memastikan keselamatan dan kesihatan diri dan orang lain terjamin.
·         Memberikan kerjasama yang baik kepada pengarah dan orang lain dalam menunaikan apa-apa kewajipan di bawah Akta atau Peraturan-peraturannya.
·         Memakai atau menggunakan apa-apa kelengkapan atau pakaian perlindungan yang disediakan.
·         Mematuhi apa jua arahan atau langkah keselamatan dan kesihatan pekerjaan menurut kehendak Akta atau Peraturan-peraturannya.

3)      Pegawai Keselamatan dan Kesihatan

Pegawai Keselamatan dan Kesihatan yang telah dilantik oleh Pengarah bertanggungjawab dalam melaksanakan kewajipannya menurut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514). Antara kewajipan yang perlu dilaksanakan adalah seperti berikut:

·         Menasihati Pengarah mengenai langkah-langkah yang perlu diambil bagi kepentingan keselamatan dan kesihatan.
·         Memeriksa tempat kerja untuk memastikan tiada objek atau perkara yang boleh menyebabkan kecederaan anggota ke atas mana-mana pekerja.
·         Menyiasat segala kemalangan, kemalangan nyaris, kejadian berbahaya, atau keracunan pekerjaan yang berlaku.
·         Membantu Pengarah dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam menganjurkan dan melaksanakan program keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
·         Menjadi setiausaha kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
·         Membantu Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam pemeriksaan tempat kerja.
·         Memungut, menganalisis dan menyelenggara statistik.
·         Membantu mana-mana pegawai yang sedang menjalankan kewajipannya di bawah Akta atau Peraturan.
·         Menjalankan segala  arahan lain yang diberikan oleh Pengarah yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan tempat kerja.
 


6.    Menerangkan tentang polisi keselamatan yang disediakan dibawah Occupational Safety and Health (OSHA) dan Akta 1994 (ACT 514)

-Tujuan pengenalan Akta 1994 dan OSHA

 Pengenalan Akta 1994
            Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekeraja 1994 (Akta 514) yang telah dikuatkuasakan sejak tahun 1994 memfokus ke arah pembentukan sistem pengurusan  keselamatan  dan kesihatan pekerja. Ia menyediakan rangka perundangan untuk memupuk,merangsang dan menggalakkan mutu keselamatan dan kesihatan yang tinggi di tempat kerja dengan meletakkan tanggungjawab memelihara keselamatan  dan kesihatan pekerja kepada pihak-pihaktertentu. Tujuan utamanya ialah untuk memupuk sikap perihatin terhadap keselamatan dan kesihatan melalui skim pengaturan kendiri. Matlamat utama jangka masa panjang ialah untuk menghasilkan suatu budaya kerja yang sihat dan selamat dikalangan semua pekerja dan majikan di Malaysia
            Keselamatan dan kesihatan di tempat kerja adalah satu perkara penting dan berkait rapat dengan keselamatan dan kesihatan masyarakat serta persekitaran secara keseluruhan Isu mengenai keselamatan dan kesihatan menjadi agenda utama di tempat kerja. Persekitaran kerja perlu selamat dan tidak mendatangkan resiko kepada pekerja. Justeru itu, Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerja atau Department  Of Occupational Safety  And Health (DOSH) telah menggubal satu akta pada tahun 1994 yang dinamakan Akta Keselamatan dan Kesihatan  Pekerjaan 1994 (AKKP 1994). Akta ini dibentuk untuk untuk memberi garis panduan kepada majikan dan pekerja mengenai tanggungjawab mereka mewujudkan satu situasi kerja yang sihat dan selamat.
            Peruntukan utama Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994 menghendakki setiap majikan sama ada sector swasta atau pun awam seharusnya melindungi dan mengambil berat tentang keselamatan , kesihatan dan kebajikan setiap pekerja mereka. Aspek keselamatan tidak boleh dipandang remeholeh majikan sebaliknya perlu lebih dititikberatkan kerana penjimatan kos akan terlaksana sekiranya jumlah kemalangan ditempat kerja dapat dikurangkan. Justeru itu, penglibatan majikan dalam aspek keselamatan amat perlu bagi memastikan  sifar kemalangan dikalangan pekerja.
            Walau bagaimanapun, kewajipan untuk mengamalkan keselamatan  dan kesihatan bukan hanya terletak pada bahu majikan semata-mata. Pekerja juga sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang sama untuk memastikan keselamatan dan kesihatan mereka di tempat kerja.

Polisi Akta 1994

                                i.            Memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja ditempat kerja (bebas dari bahaya).
                              ii.            Melindungi orang di tempat kerja selain daripada pekerja ditempat tersebut.
                            iii.            Menggalakkan suatu persekitaran pekerjaan yang sesuai dengan keperluan fisiologi dan psikologi mereka.
                            iv.            Menyediakan kaedah di mana peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dapat diganti dengan sistem peraturan dan kod amalan industri yang beroperasi bersama dengan peruntukan akta ini untuk mengekal dan meningkatkan standard keselamatan & kesihatan.


Pengenalan Occupational Safety and Health (OSHA)
OSHA diperkenalkan pada tahun 1994, JKKP telah wujud sejak tahun 1908 iaitu semasa perintahan kerajaan Perak memperkenalkan peraturan ini dalam aktiviti perlombongan bijih timah pada masa itu. Tetapi ia ditubuh secara rasminya pada tahun 1970 yang dikenali sebagai Jabatan Kilang dan Jentera, sehinggalah tahun 1994 namanya ditukar dengan JKKP. Ini menunjukkan badan ini telah mempunyai tempoh masa yang panjang serta pengalaman yang luas dalam penguatkuasaan undang-undang terhadap tahap keselamatan dan kesihatan pekerja. Namun begitu, jumlah kemalangan di tempat kerja masih berada dalam keadaan yang membimbangkan walaupun berlaku penurunan sejak perkenalan OSHA 1994
Melalui hasil kajian-kajian lepas yang menunjukkan tentang kepentingan OSH dalam kebanyakkan sektor ekonomi, maka kerajaan telah mengubal dan menguatkuasakan beberapa akta yang dapat mengawal serta memberi panduan kepada majikan-majikan dalam menyediakan keadaan tempat kerja yang selamat serta suasana kerja yang baik. Bermula pada awal tahun 1913, Enakmen yang dipanggil sebagai Machinery Enactmen of 1913 telah dikuatkuasakan di negeri-negeri bersekutu dan diluaskan kepada negeri-negeri lain selepas tahun 1914, untuk mengawal keselamatan penggunaan dandang stim serta jentera-jentera lain seperti enjin pembakaran. Sehingga pada tahun 1953, aspek kesihatan pekerja mula ditekankan apabila Ordinan Kejenteraan 1953 diperkenalkan. Di mana ordinan ini telah memansuhkan Machinery Enactm2.

Polisi Occupational Safety and Health (OSHA)

i.                    Pihak pengurusan perlu mengadakan satu kenyataan dasar keselamatan dan kesihatan yang bertulis dan dipamerkan ditempat kerja.
ii.                  Pihak pengurusan mestilah berusaha untuk mengelakkan kemalangan, kecelakaan, atau apa jua masalah kesihatan yang disebabkan oleh persekitaran di tempat kerja.
iii.                Pihak pengurusan mestilah menyediakan peralatan, bahan dan persekitaran yang selamat untuk pekerjanya

Tugas Umum Majikan  (Part IV, sections 15-19)

i.                    Kewajipan Am Majikan

Di bawah common law, majikan bertanggungjwab untuk memastikan sistem kerja yang selamat , tempat kerja yang selamat, rancangan dan peralatan tempat kerja yang selamat serta penyelia dan arahan yang jelas dan munasabah. Akta keselamatan dan kesihatan pekerjaan  1994 telah mengkanunkan prinsip common law tersebut ddengan memperuntukkan dibawah seksyen kewajipan majikan, antaranya termasuklah :

a)      Mengadakan dan meyelenggaraan loji dan sistem kerja yang selamat dan  tanpa resiko kepada kesihatan.
b)      Menyusun langkah bagi menjamin keselamatan dan kesihatan dalam penggunaan atau pengedalian , penerangan , penyimpanan dan  pengangkutan loji dan bahan.
c)       Menyediakan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan yang perlu untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
d)      Memastikan premis kerja serta jalan masuk dan keluar selamat.
e)      Menyediakan dan meyenggara persekitaran kerja selamat.

Berdasarkan peruntukan di atas, majikan hendaklah melindungi kesihatan, keselamatan dan kebajikan orang-orang yang bekerja untuk mereka khususnya dengan menyelia dan meyenggara loji dan sistem kerja yang selamat. Penyusunan langkah-langkah juga perlu dibuat bagi menjamin keselamatan dan kesihatan dalam penggunaan , penanganan, penyimpanan dan pengangkutan loji dan bahan. Dalam konteks AKKP 1994, loji bermaksud apa-apa jentera, kelengkapan, perkakas, alat dan apa-apa komponennya manakala bahan bererti apa-apa bahan semulajadi atau buatan sama ada dalam bentuk pepejal, cecair, gas , wap, ataupun gabungan.

ii.                  Kewajipan Membentuk Dasar

Seksyen 16 pula mewajibkan majikan untuk membuat satu dasar keselamatan dan kesihatan bagi industri mereka. Majikan perlu menyediakan dan seberape kerap  yang sesuai mengkaji semula penyataan bertulis dasar amnya. Dasar atau polisi keselamatan dan kesihatan pekerjaan sesebuah organanisasi dibahagikan kepada 3 komponen utama iaitu :
a)      Penyetaan tentang dasar am.
b)      Penyetaan terhadap organisasi dan tanggungjawab personal.
c)       Penyataan tentang susun langkah untuk memelihara keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Majikan mesti memastikan dasar yang digubal di maklumkan kepada pekerja. Dasar tersebut hendaklah dilengkapi dengan panduan bertulis mengenai langkah terperinci. Bagi mengawal bahaya di tempat kerja dalam bentuk yang mudah difahami oleh pekerja.

Langkah yang dimaksudkan merupakan program atau aktiviti yang dirancang dan di jalankan, antaraanya , langkah mengenalpasti bahaya, program berstruktur untuk latihan keselamatan dan kesihatan , sistem menyiasat insiden kemalangan, sistem pemilihan dan penempatan pekerja, sistem penyediaan peralatan perlindungan diri dan sistem mengenalpasti dan mengawal risiko.

                Dasar atau polisi keselamatan dan kesihatan pekerjaan dibentuk berasaskan kepada peraturan – peraturan AKKP 1994 dan juga tata amalan industri. Mengikut seksyen 36 akta yang sama, tata amalan industri adalah terdiri daripada arahan – arahan yang pada hemat Menteri Sumber Manusia perlu atau patut untuk panduan majikan dan pekerja dalam mematuhi kehendak-kehendak akta. Suatu akta amalan terdiri daripada apa – apa standard , kaedah , spesifikasi dan peruntukan berhubungan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang diluluskan oleh Menteri Sumber Manusia. Tata amalan juga perlu memakai, mengandungi atau merujuk kepada mana-mana dokumen yang dirumus atau disiarkan oleh mana- mana badan atau pihak yang berkuasa.

Terdapat dua sebab utama mengapa dasar keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu disediakan. Pertama , ia diwajibkan melalui peruntukan undang-undang. Kedua, ia perlu untuk mengingatkan semua kakitangan iltizam bersama untuk menyediakan tempat kerja yang selamat dan sihat. Selain itu, dasar ini boleh digunakan sebagai tempat bukti kecuaian majikan jika apa yang dinyatakan dalam dasar tidak dikotakan

iii.           Kewajipan Menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Dan  Kesihatan Pekerjaan.  

Seksyen 30 AKKP 1994, meperuntukkan tiap-tiap majikan hendaklah menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan  (JKKP) di tempat kerja jika mempunyai lebih dari empat puluh orang pekerja. Sekiranya bilangan pekerja kurang dari empat puluh orang, Ketua pengarah boleh mengarahkan penubuhan Jawatan berkenaan sekiranya wujud keperluan bagi menjaga keselamatan dan kesihatan pekerja.

Jawatankuasa ini secara umumnya merupakan suatu koordinasi di antara tanggungjawab majikan dan pekerja dalam usaha membentuk peraturan dan panduan keselamatan dan kesihatan yang mempunyai tiga sifat penting iaitu :

a)      Pengaturan kendiri (self –regulated)
b)      Perundingan (consultation)
c)       Bekerjasama (co-operation)

-         Tugas Umum Pekerja  (Part VI, sections 24-27)

i.                    Jaga keselamatan dan kesihatan diri dan orang lain.
ii.                  Bekerjasama dengan majikan.
iii.                Gunakan alat pelindung diri yang disediakan.
iv.                 Mematuhi undang-undang dan peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan

7.    Kebaikan dalam melaksanakan konsep keselamatan dengan betul.

Keselamatan industri adalah sangat penting bagi setiap majikan dan pekerja untuk diamalkan. Seterusnya, kewujudan satu sistem peraturan keselamatan yang baik akan mendatangkan banyak faedah dan kebaikan. Antaranya ialah :
1.      Mencegah risiko kemalangan, keracunan dan penyakit.
2.      Mengelak kecederaan, kerugian dan kerosakan.
3.      Segala pekerjaan dapat dilaksanakan dengan tekun dan produktif.
4.      Pekerja dapat menghasilkan produk dan memberikan perkhidmatan yang berkualiti.
5.      Produktiviti syarikat akan meningkat.
6.      Keupayaan bersaing akan meningkat.
7.      Dapat menerima faedah peningkatan pasaran dalam negara.
8.      Selaras dengan kehendak Akta Pekerjaan 1994.
9.      Sebagai lambang komitmen majikan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerja – pekerja.
10.   Dapat mewujudkan budaya kerja di dalam organisasi.

1 comments:

SHUHAIZA BT ABDUL HAMID said...

menerangkan sebab mengapa osha penting di sektor industri?

Post a Comment

 

PlaCe tO KnOw EveRyThinG © 2008 . Design By: SkinCorner